Speaking My Mind 2 – Judi dan Penyelesaian Kreatif

Pada 26 September 2011 yang lalu, YAB Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk disalurkan kepada sekolah-sekolah vernakular dan mubaligh melalui sumber dana yang diperolehi daripada aktiviti perjudian. Difahamkan, peruntukkan tersebut akan berterusan setiap tahun dan akan diagihkan secara adil oleh suatu Lembaga Pemegang Amanah melalui perbincangan dengan pihak MCA, GERAKAN, MIC dan NGO yang akan terlibat. Langkah tersebut dilihat sebagai “penyelesaian kreatif” dalam melengkapkan usaha kerajaan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua disamping mengendurkan rasa tidak puas hati di kalangan komuniti Cina dan India.

Kita sudah sedia maklum bahawa hak keistimewaan bumiputera seringkali dipersoal dan diasak daripada dahulu hingga kini. Ianya diasak begitu sekali sehingga ada kalangan bumiputera sendiri yang cenderung bersetuju dan senada dengan mereka yang mendesak terutama kepada mereka yang telah berjaya dan generasi baru yang tidak memahami susur galur sejarah silamnya. Atas asakan tersebut, kita pun mengambil sikap bertolak ansur dan berlembut hingga sedikit demi sedikit kepentingan kita terhakis.

Cadangan tersebut dikemukakan berkemungkinan disebabkan oleh desakan pemimpin bukan bumiputera didalam kerajaan selain daripada percaturan politik pihak kerajaan yang memerintah. Persoalan pokok yang perlu difikirkan bersama adalah, adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk menari di pentas yang sama dengan mereka? Sekiranya mereka mahukan kesaksamaan, pastikan mereka membuang identiti SJK(C) mereka dan yakinkan Singapura untuk mengiktiraf RM1 bersamaan nilai 1 Singapore Dollar. Sekiranya itu dilakukan, masa itu barulah kita juga akan bersedia untuk membuang segala hak keistimewaan kita. Harus diingat bahawa kesaksamaan itu tidak semestinya membawa kepada keadilan.

Walau bagaimanapun, persoalan yang lebih utama untuk kita ketengahkan adalah siapakah antara penyumbang yang akan menyumbang kepada keuntungan perjudian yang diperolehi untuk dana itu nanti? Kita amat yakin bahawa akan ada dikalangan orang Islam dan Melayu itu sendiri yang akan menjadi penyumbangnya. Mereka ini adalah penagih judi yang bergelumang dengan aktiviti perjudian tersebut. Ramai dikalangan mereka ini tanpa segan silu keluar masuk kedai judi antaranya Magnum 4D, Sports Toto Malaysia dan Da Ma Cai-Pan Malaysian Pools serta lapangan lumba kuda di Pulau Pinang, Ipoh dan Kuala Lumpur. Papantanda peringatan yang terpampang megah dipintu masuk kedai judi tersebut langsung tidak diambil endah oleh penagih judi yang sangat ketagih berjudi manakala dipihak kedai judi pula langsung tidak menunjukkan rasa hormat kepada peruntukan undang-undang sedia ada. Amaran dan peringatan dipapantanda tersebut akhirnya berfungsi sebagai perhiasan semata-mata dan tidak membawa kesan atau makna apa-apa.

Fenomena ini seharusnya tidak harus wujud dan perlu diberi perhatian serius serta ditangani dengan sewajarnya. Penguatkuasaan yang mantap dengan strategi yang berkesan perlu dilaksanakan dan sekiranya perlu, penggubalan undang-undang juga harus kita fikirkan. Bila kita bercakap mengenai penguatkuasan, satu perkara yang kita harus akui dengan jujur ialah langkah penguatkuasaan kita adalah bermusim dan keazaman kita pula hanyalah sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja. Seringkali juga kita mendengar faktor kekurangan tenaga penguatkuasa dijadikan alasan membela kepincangan yang ada.

Untuk itu, kita juga mahu mengutarakan suatu penyelesaian kreatif bagi menghapuskan sama sekali penglibatan umat Islam dan Melayu didalam kegiatan perjudian dimana kita sudah sedia maklum bahawa ramai dikalangan saudara kita bergelumang dengannya. Lebih teruk lagi, ada dikalangan mereka ini terjerumus pula kepada amalan syirik dan khurafat dengan menggunakan khidmat bomoh untuk melakukan aktiviti menurun nombor ekor. Parah jadinya umat Islam dan Melayu sekiranya hal ini dibiarkan berterusan dan bolehkah sumber umat Islam dan Melayu sebegini digunakan untuk membangunkan Agama, Bangsa dan Negara?

Apa kata… suatu undang-undang diwartakan dimana menjadi suatu kesalahan untuk orang Islam dan Melayu menerima hadiah kemenangan hasil judi tersebut. Syarikat judi pula diwajibkan untuk mewartakan senarai nama pemenang dan nombor kad pengenalan mereka didalam web dan massa serta memanjangkan senarai tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri bagi tujuan pemantauan berterusan dalam memastikan tiada nama orang Islam dan Melayu yang terlibat.

Bagi menjamin keberkesanan cadangan peraturan diatas, wartakan juga peraturan supaya syarikat judi mencetak nama dan nombor kad pengenalan penagih judi pada tiket judi mereka. Dewasa ini, transaksi urusniaga berlaku dengan amat mudah dan pantas iaitu kurang daripada 30 saat untuk suatu transaksi berlaku. Oleh yang demikian, maka ramailah orang Islam dan Melayu ini dengan mudah dapat melepaskan ketagihan judi mereka.

Dalam pada itu, kita perlu menjangka bahawa akan ada dikalangan yang akan mempersoalkan sekiranya peraturan ini hendak dilaksanakan. Perlu ditegaskan bahawa tidak ada sebab bagi orang Islam dan bukan Islam serta pimpinan mereka baik dipihak kerajaan mahupun pembangkang menentang cadangan peraturan ini melainkan pihak syarikat judi tersebut. Syarikat judi ini akan menentang hanya disebabkan dua faktor utama iaitu, perolehan mereka akan terjejas disebabkan semakin kurang penglibatan orang Islam dan Melayu yang berjudi serta penambahan kos peningkatkan sistem dan pengiklanan. Alasan syarikat judi ini boleh kita abaikan sahaja tetapi kita perlu juga memikirkan hujjah alasan lain dengan memberi justifikasi yang bijaksana. Antaranya, pihak kerajaan mahu memastikan bahawa penjudi bukan Islam dan bukan Melayu ini dijamin untuk memperolehi wang kemenangan mereka. Tidaklah pula sekiranya disebabkan tiket judi hilang ataupun sebab kematian maka mereka serta waris dinafikan hak untuk membuat tuntutan.

Oleh yang demikian, kita mencadangkan pihak kerajaan agar model penyelesaian kreatif membenteras aktiviti judi dikalangan orang Islam dan Melayu ini diberi perhatian sewajarnya. Penyelesaian kreatif ini tidak meminta pihak kerajaan memperuntukkan dana tambahan untuk aktiviti pemantauan seperti menambah bilangan penguatkuasa ataupun mengadakan CCTV disetiap dikedai judi. Memadai sekadar dua peruntukkan undang-undang baru ini diperkenalkan. Ianya langsung tidak menambah beban kewangan kerajaan dan memberi risiko politik. Walau bagaimanapun ianya memberi hasil yang sangat berkesan dan sudah tentu usaha dalam menegakkan syiar Islam serta ‘amal maaruf dan nahi mungkar’ ini akan mendapat sokongan ramai dan keberkatan daripada Allah SWT dalam usaha untuk mencapai objektif sifar judi dikalangan orang Islam dan Melayu di Negara ini.  Wallahualam.

Ikhlas,

25 Oktober 2011

About nadim25

I am a Muslim. My religion is Islam
This entry was posted in Speaking my mind. Bookmark the permalink.

Leave a comment